Minggu, 01 Mei 2011

Terimalah Kebenaran

Menerima kebenaran tidak semudah menyampaikannya kepada orang lain. Berapa ramai pendakwah yang berjaya menyampaikan nasihat yang baik tetapi dirinya sendiri tidak terkesan dengan nasihat yang mengalir dari lisannya. Dan berapa ramai pendakwah yang berdakwah tetapi melupakan dirinya serta ahli keluarganya sendiri. Berapa ramai yang berjaya mendidik orang lain tetapi gagal mendidik anak-anak sendiri.

Mungkin kita boleh katakan "Nabi Nuh pun gagal mendakwahi anaknya sendiri" tetapi persoalannya adakah semua nabi begitu, tidakkah kita melihat kisah Nabi Nuh ini sebagai rawatan jiwa bagi ayah yang telah bersungguh-sungguh mendidik dan berdoa untuk kebaikan anaknya namun masih gagal membina ketaqwaan pada jiwa anak-anaknya. Adakah kita telah bersungguh-sungguh untuk itu...sebagaimana Nabi Nuh AS?

Saya tidak hanya melihat persoalan ini dari luar tetapi dari sudut dalam diri saya sendiri bahkan saya melihat persoalan ini dengan rasa cemas dan saya juga yakin kecemasan dan kebimbangan boleh dirasai oleh "ayah-ayah atau ibu-ibu".

Menerima kebenaran memang tidak semudah yang digambarkan. Mungkin kita atau saya sendiri memperuntukkan masa yang banyak untuk memberi nasihat dan pesanan tetapi masa yang sama tidak kita peruntukkan untuk kita mendengar dan menerima nasihat serta teguran dengan penuh kerendahan hati. Kata Imam Al Ghazali "Menerima nasihat memang sesuatu yang pahit" namun kepahitan ini akan bertambah apabila nasihat yang disampaikan memang dalam stok ilmu kita cuma kita sedikit terlalai.

Bukankah kebenaran itu boleh datang dari orang dewasa atau kanak-kanak, dari seorang suami atau isteri atau dari bapa dan anak. Dan dari sumber manapun kebenaran itu datang harganya tetap sama cuma kita saja yang membezakannya kerana keegoan yang bersarang di hati kita.

Mungkin kita boleh menerima peringatan yang sama seperti yang diberikan kepada bani Israel:

44. Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berpikir? (Al Baqarah)

Rasa cemas saya bertambah apabila saya secara langsung berinteraksi dengan remaja-remaja yang kebanyakan ibubapa mereka ialah orang yang bergiat di dalam kerja-kerja dakwah. Saya pernah memanggil seorang anak remaja yang mana ayahnya cukup aktif dan terkenal dengan kerja-kerja dakwah bahkan sering dijadikan contoh dalam penyampaian-penyampaian. Saya tanyakan padanya "Betul tak, kalau cikgu katakan, orang yang paling anta benci adalah ayah anta sendiri?" Dia terdiam sambil mengangguk kepala. Anak remaja ini memang banyak menimbulkan masalah disekolah dan saya yakin bahawa segala masalah yang dilakukannya adalah sebagai tanda protesnya pada ayahnya.

Perbincangan kami berterusan hingga saya membuat kesimpulan sendiri bahawa perasaan itu timbul apabila anak itu terasa bahawa dakwah telah memisahkan dia dari ayahnya. Kenapa begitu? Mungkin kita terlupa bahawa anak-anak kita adalah manusia biasa. Sehebat mana kerja Islam yang kita lakukan Allah tidak akan kurniakan anak malaikat kepada kita supaya kerja-kerja kita menjadi lebih senang. Kefahaman mereka perlu dibina dan banayk perkara yang perlu kita kongsikan dengan mereka supaya mereka turut merasai kehangatn cinta kita pada kerja-kerja memikul risalah Islam ini. Saya sendiri cuba untuk berkongsi dengan anak-anak dalam membuat keputusan. Saya berikan satu contoh dan saya harapkan pemerhatian saudara pembaca lebih tertumpu pada perkembangan dan tahap perasaan anak-anak.

"Saya memang besarkan anak- dalam keadaan yang sederhana. tidak semua yang dimiliki oleh anak-anak lain dimiliki oleh anak-anak saya. Tidak semua permintaan mereka saya penuhi. Di rumah saya tidak ada television (kerana beberapa sebab yang bagi saya penting untuk jauhkan TV dari rumah saya) seperti rumah jiran dan kawan-kawan mereka. Tetapi dalam masa yang sama dalam kerja-kerja saya, saya memerlukan Komputer yang baik dan up to date kerana kerja-kerja editing multimedia dan sebagainya bagi memenuhi keperluan dalam dakwah dan tarbiyyah semasa. Dan komputer ini tentulah jauh lebih mahal dari TV...dan "anak-anak kita tahu hakikat ini" walaupun mereka baru darjah 1. Ya, komputer lebih mahal dari TV, kalau kita boleh beli komputer tentunya kita juga mampu beli lebih dari satu TV. Satu kesilapan besar yang sering kita lakukan ialah kita mengajar sifat qonaah pada anak-anak tetapi tidak pada kita...."pada pandangan anak kita"(Anak-anak kita melihat dan mentafsir mengikut kemampuan ilmu dan kefahaman mereka).

Hari pertama saya beli komputer itu saya ajak anak saya duduk di depan komputer itu dan saya berikannya penjelasan sambil membina perkongsian bahawa komputer ini adalah modal untuk mencari redha Allah. "Memang komputer ini mahal tetapi abi perlu beli sebab kita nak buat banyak kerja yang Allah perintahkan...nak masuk syurga bukan mudah, ada harga yang perlu kita bayar. Umarpun boleh gunakan komputer ini untuk tujuan kebaikan." Itulah antara penjelasan yang saya berikan untuk merawat salah faham yang mungkin akan timbul pada jiwa anak-anak.

Mendakwah anak-anak kepada keimanan agak berbeza dengan dakwah kita pada orang lain. Jiwa anak-anak adalah serpihan hati dan jiwa kita sendiri. Banyak perkara yang perlu kita kongsikan. Setiapkali menghadiri atau mengendalikan suatu program saya sentiasa mencari ruang supaya saya boleh bawa anak saya bersama. Saya ingin jiwa mereka tumbuh dan membesar dalam iklim tarbiyyah dan dakwah. Dan setiapkali mereka bersama saya akan cuba tahan lidah saya dari marah supaya setiapkali mereka berada dalam program Islam mereka merasa keindahan yang berbeza. Kadang-kadang saya agak terkilan apabila ada sahabat-sahabat yang hadir keprogram yang hanya bersifat rehlah tetapi tidak bawa anak-anak mereka bersama dan lebih menyedihkan apabila ditanya lalu jawapannya 'payah'. Ya, memang payah tetapi kepayahan itu hanya bersifat sementara. Mula-mula memang payah tetapi apabila kita 'tune'kan, lama-lama ianya akan jadi mudah. Kalaupun tak mudah juga, anggaplah ianya sebagai ujian dalam tarbiyyah seperti yang "biasa kita sebutkan pada orang lain".

Mendakwahi diri kita sendiri juga berbeza; ianya benar-benar memerlukan kerendahan hati. Kerendahan hati hingga anak dan isteri kita sendiri merasa selesa untuk menegur dan menasihati kita. Bukanlah satu keaiban sekiranya kita memiliki kelemahan hingga perlu ditegur dan dibetulkan kerana kita bukanlah maksum. Menerima teguran dan nasihat tidak menjadikan jiwa kita rendah dan hina, bahkan ketinggian jiwa itu terletak kepada kerendahan hati kita untuk menerima kebenaran.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Al-Quran Online